KMKK Perlu Diperkasa Pantau Kesan Pembangunan Terhadap Alam Sekitar
LAWAS: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu diperkasa sebagai barisan hadapan pemantauan di lapangan bagi membantu kerajaan mengesan lebih awal sebarang aktiviti pembangunan yang berpotensi menjejaskan alam sekitar di Daerah Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penglibatan KMKK dan komuniti setempat penting bagi memastikan pembangunan yang pesat di daerah berkenaan dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
“Alam sekitar bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, ia merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“KMKK mempunyai kedudukan yang sangat penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pemerkasaan KMKK Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan Daerah Lawas 2026, di sini pada Isnin.
Menurutnya, pembangunan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, sebaliknya perlu mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, KMKK boleh membantu menyalurkan maklumat berkaitan isu pembakaran terbuka, pencemaran sungai, pembuangan sampah dan pencerobohan kawasan sensitif kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menekankan keperluan mengubah pendekatan penjagaan alam sekitar daripada tindakan selepas sesuatu masalah berlaku kepada pemantauan dan pencegahan secara berterusan.
Dalam pada itu, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata, sebanyak 34 projek pembangunan di Lawas kini dipantau Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memastikan projek berkenaan mematuhi syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Projek berkenaan merangkumi 13 projek infrastruktur, enam projek hartanah, satu projek perhutanan, 10 projek pertanian serta empat projek kuari dan perlombongan.
“Pegawai NREB tidak mampu berada di lapangan setiap hari.
“Justeru, kerjasama KMKK dan komuniti setempat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat serta input berkaitan aktiviti pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara NREB, KMKK dan komuniti setempat akan membantu memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan alam sekitar, khususnya ketika Lawas terus berkembang dengan pelbagai projek pembangunan.
Pada majlis sama, sebanyak 193 cek pampasan dan 63 surat hak milik tanah disampaikan kepada penerima yang terlibat dengan projek Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR). -EDISI UKAS