Sembilan Pelajar Bintulu Sertai MYJAM15 Di Pulau Pinang
BINTULU: Penyertaan sembilan pelajar Bintulu dalam Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (MYJAM15) di Pulau Pinang dari 29 Ogos hingga 4 September ini menjadi platform penting dalam membentuk kepimpinan, disiplin dan ketahanan diri generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penyertaan di peringkat kebangsaan itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah membawa nama Bintulu dan Sarawak dalam kalangan anggota Pengakap dari seluruh negara.
“Jambori bukan sekadar perhimpunan biasa tetapi merupakan platform terbaik untuk menguji ketahanan fizikal, mental serta mengasah nilai kepimpinan dan disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Kontinjen Bintulu ke MYJAM15 di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu pada Isnin.
Menurutnya, peserta perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk memperluas pengalaman, membuka minda serta membina persahabatan dengan anggota Pengakap dari seluruh negara dan antarabangsa.
Johnny turut mengingatkan peserta supaya mematuhi arahan pemimpin, mengamalkan semangat kebersamaan serta saling membantu sepanjang menyertai program berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata aspek keselamatan dan kebajikan murid perlu menjadi keutamaan sepanjang penyertaan kontinjen.
Katanya, semua dokumen berkaitan termasuk deklarasi kebenaran ibu bapa dan dokumen rawatan hospital perlu dilengkapkan sebelum keberangkatan bagi memastikan kebajikan peserta terjamin.
Samri turut mengingatkan peserta supaya sentiasa berada dalam kumpulan, mematuhi arahan pemimpin dan memastikan proses headcount dilakukan pada setiap aktiviti.
Pada majlis sama, Johnny turut menyumbangkan RM3,000 bagi membantu menjayakan penyertaan Kontinjen Bintulu ke MYJAM15. -EDISI UKAS