SARIKEI: Sambutan Maulidur Rasul wajar dimanfaatkan sebagai wadah untuk memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menghayati sirah, akhlak dan sunnah Baginda serta menerapkannya dalam kehidupan seharian.
Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya terbatas kepada sambutan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan harian dengan menjadikan sunnah Baginda sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.
Menurut beliau, penghayatan terhadap perjuangan dan keperibadian Rasulullah SAW mampu membentuk masyarakat yang kukuh pegangan agama serta memiliki akhlak terpuji.
“Jadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai titik muhasabah untuk memperbaharui tekad dalam mencontohi sifat dan kepimpinan Baginda, sekali gus memperkukuh hubungan sesama umat Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah khas sempena Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sarikei 1448H/2026M di Masjid Al-Muttaqin, di sini pada Isnin.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya menjadikan perjuangan dan keperibadian Rasulullah SAW sebagai pedoman dalam membina kehidupan serta masyarakat yang berteraskan nilai agama dan akhlak.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah yang dipimpin Penolong Imam Bahagian Sarikei, Ustaz Khairul Azhar Johni, diikuti Solat Sunat Hajat sebagai tanda munajat agar Sarawak sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah termasuk situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan.
Pengisian diteruskan dengan Solat Fardu Isyak berjemaah, Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Sarikei dan bacaan Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan jamuan makan malam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Mu’al Suaud, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili dan Pemangku Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Sarikei, Syed Harold Salleh Wan Mohammad. -EDISI UKAS