Pintu Gerbang Warnai Maulidur Rasul Gedong, Surau Darul Islam Juara Keseluruhan
GEDONG: Kreativiti surau setempat mencuri perhatian dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1448H/2026M menerusi pertandingan pintu gerbang yang menjadi antara pengisian utama sambutan tahun ini.
Pertandingan itu menyaksikan Surau Al-Muttaqin, Kampung Lot Fasa 1 muncul juara, manakala Surau As-Syakirin, Kampung Kanchong Baru dan Surau As-Shobirin, Kampung Tengah Lama Gedong masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Lebih menarik, Surau Darul Islam, Kampung Tengah Hulu, Gedong dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul pencapaian terbaik dalam keseluruhan pertandingan yang dianjurkan sepanjang sambutan.
Sambutan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu berlangsung sejak 20 Ogos lalu dengan penglibatan masyarakat menerusi pelbagai pengisian antaranya Tilawah Al-Quran, Rawi, Berzanji, Zikir, Nasyid, Pendakwah Cilik, Hafazan, Khutbah Jumaat dan pertandingan sepanduk.
Program anjuran bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Gedong (LAKIG), Pejabat Daerah Gedong, Pusat Khidmat DUN Gedong dan Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong itu turut menjadi ruang kepada surau-surau setempat mengetengahkan kreativiti masing-masing dalam memeriahkan sambutan Maulidur Rasul.
Dalam majlis sama, ‘The Gedong Muslim Charitable Trust Board’ menerima dividen berjumlah RM38,118 daripada FELCRA Berhad Sarawak yang diserahkan Penolong Pengarah Negeri, Khidmat Pengurusan FELCRA Berhad Sarawak, Hamzah Yak @ Sabeli kepada Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Turut disampaikan ialah bayaran zakat perniagaan tahun 2025 oleh FELCRA Sarawak berjumlah RM13,613 kepada Tabung Baitulmal Cawangan Serian.
Bayaran berkenaan disampaikan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Gedong Plantation Sdn Bhd, Khusyairi Pangkas Abdullah dan diterima wakil Tabung Baitulmal Cawangan Serian, Ustaz Masanal Bolkiah Mohen @ Mohin.
Sementara itu, Imam 1 Masjid Al-Kawthar Gedong, Sudin Sulung menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Sambutan Maulidur Rasul Daerah Gedong 2026 berdasarkan pencapaian serta pematuhan terhadap kriteria yang ditetapkan.
Sambutan berkenaan menjadi antara platform komuniti setempat mengekalkan pengisian Maulidur Rasul melalui gabungan aktiviti keagamaan, kreativiti dan penyertaan masyarakat. -EDISI UKAS