Pembangunan Baharu Pacu Gedong Jadi Pusat Pertumbuhan Setempat
GEDONG: Gedong bakal menyaksikan perubahan landskap pembangunan menerusi pelaksanaan beberapa projek utama yang berpotensi memperluas aktiviti ekonomi serta menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat tumpuan baharu bagi penduduk setempat.
Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, antara pembangunan yang dirancang termasuk pembinaan masjid baharu bertaraf masjid daerah, pusat pentadbiran baharu serta pembangunan perumahan yang melibatkan kira-kira 100 unit rumah.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijangka turut meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan awam serta mewujudkan peluang baharu untuk aktiviti ekonomi di sekitar Gedong.
“Masjid baharu akan dibina di seberang kawasan Kampung Lalang Mayak. Apabila jambatan dan masjid itu siap, kita akan mempunyai akses yang lebih dekat kepada kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1448H/2026M di Masjid Al-Kawthar Gedong, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Mohd Naroden berkata sambutan Maulidur Rasul tahun ini dilaksanakan secara sederhana berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi di kawasan Serian dan turut memberi kesan kepada Gedong.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mengambil perhatian terhadap keadaan kualiti udara dan mengutamakan keselamatan, khususnya golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma serta kesukaran bernafas.
Beliau berkata, meskipun sambutan diadakan secara sederhana, program berkenaan tetap memberi ruang kepada masyarakat untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara ahli masjid, surau dan penduduk kampung di seluruh kawasan Gedong. -EDISI UKAS