Produk Tempatan Berpotensi Jadi Sumber Pendapatan Baharu Komuniti Mambong
PADAWAN: Produk makanan tempatan seperti kerepek, kopi dan makanan berasaskan hasil kampung berpotensi dikembangkan sebagai perusahaan komuniti yang mampu membuka sumber pendapatan baharu kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, golongan wanita khususnya mempunyai ruang besar untuk mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan produk tempatan.
Menurut beliau, potensi berkenaan perlu disokong dengan perancangan menyeluruh meliputi bekalan bahan mentah, pengeluaran dan pasaran supaya perusahaan yang dibangunkan mampu bertahan dalam jangka panjang.
“Kalau kita hendak menghasilkan kerepek, bekalan pisang mesti mencukupi dan berterusan, begitu juga dengan pemasaran.
“Kita perlu melihat keseluruhan ekosistem supaya usaha yang dimulakan dapat berkembang dan bertahan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Biro Wanita Kampung Braang Bayur, di sini pada Isnin.
Datuk Dr Jerip berkata, pembangunan tanaman pisang secara berskala besar di kawasan Mambong boleh dipertimbangkan bagi menyediakan bekalan bahan mentah yang konsisten kepada perusahaan pemprosesan makanan tempatan.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menyokong pengeluaran produk makanan, malah berpotensi mewujudkan rantaian ekonomi yang melibatkan pengusaha tanaman, pemprosesan dan pemasaran.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan masyarakat memanfaatkan perkembangan pembangunan di kawasan sekitar, termasuk kemudahan perniagaan, pusat penjaja serta pembangunan baharu yang berpotensi meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan.
Menurutnya, kerjasama serta pengurusan yang baik perlu diwujudkan supaya peluang ekonomi yang muncul dapat dimanfaatkan penduduk setempat secara lebih tersusun.
Beliau menegaskan pembangunan komuniti tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan, sebaliknya perlu disusuli dengan usaha meningkatkan kemahiran, kapasiti pengeluaran dan keupayaan masyarakat menjana pendapatan secara berterusan. -EDISI UKAS