Terjemah Perancangan Kepada Pembangunan Berimpak Untuk Rakyat
KOTA SAMARAHAN: Setiap perancangan pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan pembangunan yang memberi manfaat nyata kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perbincangan mengenai pembangunan perlu disusuli tindakan yang jelas dan berkesan.
“Apa yang kita bincangkan hari ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak serta manfaat sebenar kepada rakyat dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Sosioekonomi IRSDA di Bilik Mesyuarat Utama IRSDA, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, penyelarasan berterusan antara agensi dan pihak berkaitan penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan serta mengambil kira keperluan semasa masyarakat.
Katanya, perkembangan projek yang telah dirancang perlu dipantau secara berterusan bagi mengenal pasti perkara yang memerlukan penambahbaikan serta memastikan pelaksanaannya kekal pada landasan.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan perkembangan pelaksanaan projek pembangunan serta meneliti cadangan inisiatif baharu yang berpotensi memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di Bahagian Samarahan.
Datuk Rubiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sosioekonomi IRSDA berharap keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan dapat dilaksanakan dengan komitmen semua pihak supaya perancangan pembangunan yang dibuat dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai masyarakat. -EDISI UKAS