Jasa Pasukan Keselamatan Komanwel Pertahan Sarawak Terus Dikenang
BAU: Jasa dan pengorbanan anggota Pasukan Keselamatan Komanwel yang pernah berkhidmat mempertahankan Sarawak ketika era Konfrontasi Indonesia-Malaysia terus dikenang dan dihargai oleh masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, peranan pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota British, Australia, New Zealand, Gurkha dan pasukan keselamatan Malaysia amat penting dalam mempertahankan keutuhan wilayah serta kedaulatan Sarawak.
“Enam puluh dua tahun lalu, Batalion Ke-3 dan Ke-4, Royal Australian Regiment telah menyahut seruan untuk berkhidmat di hutan dan kawasan muka bumi Borneo yang mencabar.
“Walaupun ditempatkan jauh dari tanah air serta berdepan cabaran fizikal dan mental yang besar, keberanian dan dedikasi mereka membantu memulihkan keamanan, menjamin kedaulatan Sarawak serta melindungi masyarakat daripada ancaman pencerobohan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam ‘Reunion’ Operation Hornbill 26 – Stass Chapter di Dewan Serbaguna Kampung Krawong Stass, di sini pada Isnin.
Datuk Henry berkata, antara legasi penting pasukan Australia kepada masyarakat setempat ialah pembinaan jalan pertama yang boleh dilalui kenderaan dari Bau ke Kampung Stass oleh Kor Jurutera Tentera Australia pada tahun 1965.
Tambahnya, masyarakat sekitar Bau, khususnya Kampung Stass, Kampung Serikin dan Kampung Gumbang, masih mengingati serta menghargai khidmat bakti anggota keselamatan yang pernah bertugas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengorbanan tersebut turut mengakibatkan kehilangan nyawa apabila kira-kira 23 anggota tentera Australia tidak kembali hidup dari Sarawak, manakala ramai lagi veteran pulang dengan kesan fizikal dan mental akibat peperangan.
“Antara pertempuran yang pernah berlaku termasuk Pertempuran Sungai Kumba, Pertempuran Serikin-Babang dan Pertempuran Lotar-Kindau, selain beberapa pertempuran kecil yang lain,” ujarnya.
Pada majlis sama, Datuk Henry meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan Tugu Peringatan Konfrontasi di Kampung Stass.
Turut disampaikan cek peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) masing-masing berjumlah RM240,000 kepada Gereja St. Mark Stass dan RM200,000 kepada Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Serasot. -EDISI UKAS