Dua Gereja Di Simanggang Terima Dana UNIFOR Berjumlah RM1 Juta
SIMANGGANG: Dua gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM1 juta bagi tujuan menaik taraf dan menambah baik kemudahan rumah ibadat.
Difahamkan, Catholic Church Of Our Lady, Queen of Peace, Sri Aman menerima geran sebanyak RM800,000 bagi tujuan pengubahsuaian struktur bangunan dan kemudahan.
Manakala, Sing Eng Methodist Church menerima RM200,000 bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian bangunan rumah ibadat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pemberian geran UNIFOR ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum dalam negeri ini terus terpelihara.
"Selain itu, penyaluran geran ini juga bertujuan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi aktiviti komuniti di Sarawak.
"Justeru, diharap agar pemberian geran UNIFOR ini akan dapat membantu kedua-dua gereja terbabit untuk menaik taraf rumah ibadat mereka demi keselesaan penganutnya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Philip Foster Hollis dalam satu upacara ringkas di Pusat Khidmat ADUN Simanggang, di sini pada Isnin.
Tambahnya, dana ini bertujuan meningkatkan infrastruktur rumah ibadat bukan Islam sekali gus memastikan persekitaran yang selamat, selesa dan lengkap bagi kegunaan jemaah serta aktiviti komuniti. -EDISI UKAS