DALAT: Persaraan daripada perkhidmatan tidak bermakna pesara guru bersara daripada dunia pendidikan dan kemanusiaan, sebaliknya pengalaman, ilmu serta nilai yang dimiliki masih boleh terus disumbangkan kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pesara guru mempunyai pengalaman luas yang amat bernilai dalam membimbing generasi muda, menyokong keluarga serta memperkukuh pembangunan komuniti.
"Persaraan hanya menamatkan tugas rasmi sebagai seorang guru, namun tidak pernah menamatkan nilai, ilmu dan panggilan jiwa seorang pendidik.
“Bilik darjah seorang guru sebenarnya tidak pernah benar-benar ditutup. Dindingnya sahaja yang berubah menjadi lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pesara Guru Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Fatimah, selepas bersara, bekas guru boleh terus menyumbang melalui pelbagai ruang dalam masyarakat seperti balai raya, perpustakaan, persatuan penduduk, pusat kegiatan belia, ruang pembelajaran dan aktiviti kemasyarakatan.
Ujarnya, pengalaman para pesara guru boleh dimanfaatkan untuk membimbing kanak-kanak membaca dan menulis, membantu golongan muda membina keyakinan diri serta berkongsi pengalaman berkaitan pendidikan, kerjaya dan kehidupan.
“Para pesara guru juga boleh memainkan peranan dalam memelihara bahasa, sastera, sejarah lisan dan budaya setempat yang merupakan khazanah penting untuk dirakam dan diwariskan kepada generasi baharu.
"Sumbangan pesara guru kepada masyarakat perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang bersesuaian, termasuk melalui sikap rendah hati, kesediaan mendengar serta memahami keperluan masyarakat.
"Ini kerana, masyarakat tidak semestinya memerlukan individu yang datang dengan semua jawapan, sebaliknya mereka juga memerlukan insan yang sudi mendengar, menghargai pengalaman dan membantu mencari jalan penyelesaian," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para pesara guru agar terus memilih ruang untuk menyumbang mengikut kemampuan, kesihatan dan minat masing-masing, sama ada dalam bidang pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan, kebajikan, bimbingan generasi muda mahupun pembangunan komuniti.
Beliau berkata, sumbangan kepada masyarakat tidak semestinya bermula dengan program berskala besar, sebaliknya boleh dimulakan melalui tindakan kecil yang dilakukan secara ikhlas dan berterusan. -EDISI UKAS