Infrastruktur Saluran Paip Kukuh Penting Sokong Peralihan Tenaga Sarawak
MIRI: Infrastruktur saluran paip yang selamat, berdaya tahan serta memenuhi standard dan kebolehpercayaan tinggi penting dalam menyokong peralihan tenaga serta transformasi ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keperluan itu semakin penting ketika Sarawak memasuki fasa baharu pembangunan berasaskan tenaga dan industri.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian Borneo Pipeline Conference 2026, di sini pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, perkembangan sektor tenaga Sarawak termasuk penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), pembangunan Koridor Tenaga Dibaharui Sarawak (SCORE), serta sektor gas asli cecair, hidroelektrik dan hidrogen hijau memerlukan sokongan infrastruktur saluran paip yang kukuh.
Selain memenuhi standard terkini, beliau turut menekankan agar infrastruktur tersebut memenuhi piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi selaras dengan fasa baharu pembangunan negeri berasaskan tenaga dan industri.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak memberitahu, negeri ini perlu terus memperkukuh kepakaran dalam reka bentuk dan integriti saluran paip, kejuruteraan dasar laut, penyahaktifan infrastruktur serta teknologi berkaitan peralihan tenaga.
Beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, khususnya jurutera dan profesional muda, bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perubahan industri susulan peralihan tenaga.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang. -EDISI UKAS