Wondaleaf®️ Afresh Harumkan Nama Sarawak, Menangi Anugerah IFIA Best Invention 2026 Di China
SIBU: Cekak kepala penyejuk (‘cooling headband’) Wondaleaf®️ Afresh ciptaan anak tempatan Sibu mengharumkan nama Sarawak di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah IFIA Best Invention 2026 di Guangzhou, China.
Profesor Adjung Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Dr John Tang Ing Ching berkata, kejayaan itu dicapai selepas Wondaleaf®️ Afresh menewaskan lebih 3,700 penyertaan dari lebih 30 negara pada Pameran Antarabangsa Ciptaan Ke-12 (IEI 2026).
“Afresh dibangunkan selama 18 bulan melalui lebih 100 prototaip menggunakan pelbagai bahan dan reka bentuk sebelum pasukan saya memperoleh reka bentuk akhir yang berfungsi dan tahan digunakan.
“Idea menghasilkan produk ini tercetus daripada keperluan mencari kaedah lebih berkesan untuk menyejukkan badan dalam cuaca panas, khususnya ketika melakukan aktiviti fizikal,” katanya pada sidang media, di sini pada Rabu.
Menurutnya, bahagian kepala dipilih sebagai lokasi sistem penyejukan kerana ia menggunakan kira-kira 20 peratus tenaga badan, meskipun hanya menyumbang sekitar dua peratus daripada berat badan keseluruhan.
Justeru, Wondaleaf®️ Afresh disasarkan untuk kegunaan dalam persekitaran panas, ketika melakukan aktiviti fizikal serta pengurusan demam secara topikal.
Mengimbas penyertaan di Guangzhou, Dr John Tang berkata, beliau pada awalnya tidak menjangkakan Afresh mampu bersaing dalam pertandingan yang menghimpunkan ribuan ciptaan dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, keyakinan untuk menyertai IEI 2026 timbul selepas melihat sambutan menggalakkan terhadap Afresh ketika dipamerkan sebagai salah satu inovasi Sarawak pada pelancaran Pusat Sains Sarawak pada 29 Julai lalu.
Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja hasil usaha pasukan Wondaleaf, malah turut disokong Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) serta UTS.
Wondaleaf®️ Afresh dijadualkan dilancarkan secara rasmi sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) yang berlangsung dari 3 hingga 12 September ini. -EDISI UKAS