Projek Naik Taraf Stesen Pam Penggalak Kampung Apar Siap Sepenuhnya
BAU: Projek naik taraf Stesen Pam Penggalak di Kampung Apar Singai bernilai RM3 juta telah siap sepenuhnya sekali gus memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tabong, Kampung Apar, Kampung Barieng dan Kampung Segong.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, stesen tersebut kini mampu membekalkan sehingga 100,000 gelen air sehari kepada penduduk di empat kampung terlibat.
“Pelaksanaan projek tersebut adalah bagi menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh ke kawasan kampung terlibat terutamanya kediaman kerap yang mengalami tekanan air rendah dan terputus bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Serah Projek Siap di Stesen Pam Penggalak Kampung Apar, di sini pada Rabu.
Naik taraf tersebut merupakan inisiatif kerajaan menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah Program Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA).
Skop projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf pam sedia ada kepada kapasiti tekanan lebih tinggi serta pembinaan saluran paip khusus bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air ke kawasan terlibat. -EDISI UKAS