500 Pelajar DUN Nangka Terima Bantuan Beg Sekolah PEKEMA Sarawak
SIBU: Seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menerima bantuan beg sekolah menerusi Program ‘Back To School’ anjuran Yayasan PEKEMA Sarawak bagi meringankan beban persiapan persekolahan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen sektor swasta dalam membantu keluarga yang berdepan cabaran kos sara hidup.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada PEKEMA atas keprihatinan yang berterusan dalam membantu golongan pelajar, khususnya daripada kategori B40.
“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memberikan sokongan moral dan penghargaan kepada para pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Beg Sekolah bersempena Program Back To School PEKEMA Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya Teku, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, agihan kali ini melibatkan pelajar daripada empat sekolah iaitu SK Ulu Sungai Merah, SK Kampung Bahagia Jaya Teku, SK Abang Ali dan SK Bandaran No. 3.
Katanya, empat sekolah berkenaan dipilih kerana mempunyai antara jumlah pelajar terbesar daripada 13 sekolah di kawasan DUN Nangka, manakala sembilan sekolah lain akan turut menerima bantuan selepas PEKEMA bersetuju menambah kuota agihan.
Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi memaklumkan sebanyak 4,000 beg sekolah telah diagihkan kepada pelajar di seluruh Sarawak setakat ini.
Beliau berkata, PEKEMA menyasarkan pengagihan tambahan sebanyak 7,500 beg sekolah secara berperingkat di pelbagai kawasan sepanjang tahun ini menerusi kerjasama rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri setempat.
Turut hadir, Timbalan Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Tapah Ata, Naib Presiden PEKEMA Sarawak, Ts Yusuf Roy Fitri Mohd Johnny, Penghulu Kampung Bahagia Jaya, Mirza Mohammad serta guru besar sekolah yang terlibat. -EDISI UKAS