Datuk Abdullah Lawat Kediaman Jurugambar Terjejas Akibat Ribut
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol melawat kediaman jurugambar sebuah akhbar tempatan, Chimon Upon di Kampung Tabuan Dayak di Kuching pada Rabu, selepas rumahnya terjejas akibat ribut dan hujan lebat.
Kejadian kira-kira jam 3 petang Selasa itu berlaku apabila kepingan bumbung sebuah blok pangsapuri yang terletak berhampiran kediaman Chimon tercabut akibat ditiup angin kencang sebelum menghempap sebahagian kediamannya.
Kejadian tersebut menyebabkan bahagian bumbung rumah mengalami kerosakan manakala air hujan turut memasuki kediaman.
Menurut Chimon, ibu mentua dan anaknya berada dalam rumah ketika kejadian, namun kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
Dalam kunjungan itu, Datuk Abdullah turut meninjau keadaan rumah berkenaan sebelum menyampaikan sumbangan daripada Kelab UKAS kepada Chimon bagi meringankan beban susulan kejadian itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media.
Hadir sama ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah UKAS, Joachim Paggang Jabong serta Ketua-Ketua Penolong Pengarah UKAS, Peter Sibon dan Muller Asen. -EDISI UKAS