Subis Semarak Penghayatan Maulidur Rasul Secara Sederhana
BEKENU: Penghayatan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Subis Tahun 1448H/2026M terus disemarakkan menerusi Majlis Kesyukuran dan Penangguhan Rasmi di Masjid Al-Muttaqin, di sini pada Selasa.
Sambutan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu turut menampilkan penyampaian Penghargaan Bakti Ummah kepada individu yang telah memberikan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat.
Majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Daerah Subis (JATAIS) itu turut diserikan dengan bacaan selawat serta Penilaian/Pertandingan Sepanduk sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan komitmen kontinjen yang telah membuat persediaan bagi sambutan berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus turut hadir pada majlis tersebut.
Pada asalnya, sambutan berkenaan turut merangkumi perarakan melibatkan 48 kontinjen dan hampir 2,000 peserta dari Arena Sibuti menuju ke Masjid Al-Muttaqin.
Bagaimanapun, perarakan berkenaan dibatalkan susulan keadaan jerebu semasa serta mengambil kira arahan dan nasihat pihak berkuasa berkaitan kesihatan dan keselamatan.
Kontinjen yang terlibat terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan, sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid serta surau.
Walaupun format sambutan disesuaikan, pengisian yang diketengahkan terus membawa mesej penghayatan terhadap perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW, selain memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan masyarakat Subis. -EDISI UKAS