Tajaan Pendidikan PETRONAS Sokong Pembangunan Tenaga Mahir Sarawak
KUCHING: Inisiatif tajaan pendidikan PETRONAS dilihat dapat membantu menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan Sarawak bagi merealisasikan aspirasi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
“Dalam usaha merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Melalui inisiatif seperti ini, lebih ramai golongan profesional dan pemimpin masa depan dapat dilahirkan untuk menerajui pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026 yang berlangsung di Pullman Hotel di sini pada Rabu.
Majlis diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima tajaan.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland Sagah menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan menyokong pembangunan pendidikan dan bakat, khususnya menerusi pelbagai inisiatif tajaan serta pembangunan modal insan.
Menurutnya, kemajuan negeri juga bergantung kepada keupayaan generasi muda untuk membangunkan kepakaran, nilai integriti dan jati diri yang kukuh.
Beliau turut menasihati penerima tajaan supaya memanfaatkan peluang pendidikan yang diberikan dengan sebaik-baiknya, selain menimba pengalaman dan kemahiran yang dapat digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau mengiktiraf peranan ibu bapa, penjaga dan pendidik dalam menyokong kejayaan pelajar serta membentuk generasi muda yang berpengetahuan dan berdaya saing.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad.-EDISI UKAS