Kes Jenayah Siber Sarawak Meningkat 36.1 Peratus, Kerugian Cecah RM233.48 Juta
MIRI: Kes jenayah siber di Sarawak menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 5,875 kes direkodkan dengan jumlah kerugian sekitar RM233.48 juta bagi tempoh 2024 hingga April 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata peningkatan itu membuktikan keperluan memperkukuh kesedaran dan literasi keselamatan digital dalam kalangan masyarakat bagi menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
Menurutnya, pada 2024 sebanyak 1,957 kes direkodkan dengan kerugian RM76.71 juta sebelum meningkat kepada 2,662 kes dengan kerugian RM109.17 juta pada 2025.
“Dalam tempoh hanya setahun, bilangan kes meningkat sebanyak 36.1 peratus, manakala jumlah kerugian melonjak sebanyak 42.3 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata penipuan e-dagang merupakan kategori jenayah siber paling kerap dilaporkan dengan 1,612 kes sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, penipuan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sekitar RM132.9 juta atau kira-kira 57 peratus daripada keseluruhan kerugian yang direkodkan.
Datuk Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, jenayah siber bukan lagi sekadar isu berkaitan teknologi, keselamatan atau penguatkuasaan, sebaliknya merupakan cabaran sosial yang boleh menjejaskan kehidupan serta kesejahteraan masyarakat.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus memainkan peranan dalam memperkukuh daya tahan masyarakat menerusi pendidikan, peningkatan literasi digital dan pemerkasaan komuniti.
“Usaha ini penting supaya masyarakat mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk melindungi diri serta keluarga daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
Beliau turut berharap peserta program dapat menjadi agen kesedaran dengan berkongsi pengetahuan yang diperoleh bersama keluarga, rakan sekerja, jiran dan komuniti masing-masing. -EDISI UKAS