Kampung Pusa Kekalkan Penghayatan Maulidur Rasul Secara Sederhana
PUSA: Penghayatan Maulidur Rasul tetap disemarakkan masyarakat Kampung Pusa menerusi sambutan secara sederhana tahun ini dengan memberi keutamaan kepada aspek kesihatan dan keselamatan penduduk.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, meskipun sambutan diadakan dalam format yang disesuaikan, pengisian berkaitan sirah, perjuangan dan ajaran Nabi Muhammad SAW kekal menjadi fokus utama.
Menurutnya, Pusa sebelum ini dipilih sebagai tuan rumah sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Betong, namun format sambutan disesuaikan susulan keadaan jerebu yang melanda Sarawak.
“Meskipun diraikan secara sederhana, penghayatan terhadap perjuangan dan ajaran Nabi Muhammad SAW tetap menjadi pengisian utama sambutan ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kampung Pusa, di sini pada Selasa.
Beliau menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta menjadikan sirah dan perjuangan baginda sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan menggesa masyarakat supaya mengutamakan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dengan menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara berhemah dan saling membantu.
Turut hadir, Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji, Pengerusi KRT Kampung Pusa, Ramzi Rasit dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini. -EDISI UKAS