LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan penilaian terhadap kerosakan akibat kejadian ribut di Daerah Limbang baru-baru ini bagi menentukan bentuk bantuan yang diperlukan mangsa dan kemudahan awam terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penilaian itu penting bagi mengenal pasti tahap kerosakan serta anggaran kos sebelum perkara berkenaan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Hari ini kita telah membuat keputusan supaya kerosakan-kerosakan ini dibuat penilaian, supaya kita tahu sejauh mana kerosakan yang berlaku dan anggaran kerosakannya,” katanya ketika melawat kawasan terjejas ribut di Dewan Kampung Bukit Kota, di sini pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan telah mengenal pasti rumah persendirian yang terjejas selain menerima laporan kerosakan membabitkan kemudahan awam seperti dewan, masjid, surau dan bangunan kerajaan termasuk sekolah, hospital serta kuarters kakitangan kerajaan.
“Dengan itu kita akan berhubung dengan JPBNS untuk mendapatkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan disebabkan oleh bencana ribut ini,” ujarnya.
Beliau berkata, bantuan awal telah disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Baitulmal kepada mangsa terjejas sejurus kejadian.
Dalam pada itu, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas turut akan memainkan peranan membantu mangsa mengikut keperluan dan kemampuan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi dan Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal. -EDISI UKAS