Produk Kampung Beting Maro Disasar Tembusi Pasaran Lebih Luas
PUSA: Produk keluaran kampung di kawasan Beting Maro berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi baharu dengan sokongan dalam aspek pemprosesan, pembangunan produk dan pensijilan bagi membolehkan ia dipasarkan dengan lebih meluas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, setiap kampung di kawasan itu mempunyai produk tersendiri yang boleh dikembangkan secara lebih sistematik untuk meningkatkan nilai tambah dan pasaran.
“Setiap kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mempunyai produk tersendiri.
“Justeru, kita mahu melihat potensi ini dikembangkan sehingga Beting Maro mampu menjadi pusat pengeluaran makanan dan produk tempatan untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan bagi meninjau Pusat Ekonomi di kawasan Beting Maro, pada Khamis.
Lawatan tersebut melibatkan beberapa lokasi di Kampung Tambak, Kampung Beladin, Kampung Spinang dan Kampung Semarang, Pusa.
Menurut Dato Razaili, Pusat Ekonomi yang dicadangkan dapat berperanan sebagai pusat pemprosesan bagi membantu penduduk kampung mengurus hasil keluaran mereka sebelum dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.
Katanya, kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk institusi pendidikan penting bagi membimbing usahawan dalam pembangunan produk, proses pemprosesan serta mendapatkan pensijilan halal.
Beliau berkata, produk berasaskan pertanian mempunyai potensi untuk menjadi sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat setempat sekiranya diurus, diproses dan dipasarkan secara lebih tersusun.
Penglibatan UiTM Kota Samarahan turut disifatkan sebagai peluang untuk memanfaatkan kepakaran institusi berkenaan dalam membantu usahawan meningkatkan kualiti dan nilai tambah produk tempatan.
Dato Razaili berharap kerjasama berkenaan dapat direalisasikan bagi memperkukuh rantaian pengeluaran produk tempatan serta membuka pasaran yang lebih luas untuk produk dari Beting Maro. -EDISI UKAS