X-Mission 2.0 Perkukuh Penguasaan DLP Murid Tahun Enam Daro
DARO: Seramai kira-kira 150 murid Tahun Enam dari enam sekolah rendah di Daro menjalani klinik akademik dan ujian simulasi menerusi Program Mission Excellence (X-Mission) 2.0 sebagai persediaan menghadapi penilaian Program Dwibahasa (DLP).
Program selama tiga hari itu memberi tumpuan kepada penguasaan Sains DLP, Bahasa Inggeris dan Matematik DLP menerusi klinik teknik menjawab, ujian simulasi serta sesi motivasi.
Majlis penutupan program yang turut melibatkan Ujian Penilaian DLP Tahun Enam disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad di Dewan Komuniti Kampung Penasu, pada Khamis.
Menerusi ujian simulasi, murid berpeluang membiasakan diri dengan format penilaian, mengenal pasti tahap penguasaan serta mengenal pasti aspek yang masih memerlukan penambahbaikan sebelum menghadapi penilaian sebenar.
Program tersebut turut memberi penekanan kepada aspek motivasi bagi membantu murid meningkatkan keyakinan diri selain memantapkan persediaan akademik.
Dalam pada itu, kebajikan murid turut diberi perhatian menerusi inisiatif Back-to-School PEKEMA Sarawak yang menyumbangkan 500 unit beg sekolah untuk diagihkan kepada murid sekolah rendah di Daro.
Pada majlis sama, Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Penasu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penasu, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nanga Semah dan PIBG SK Kampung Sawai bagi menyokong keperluan pendidikan, komuniti dan kesihatan setempat. -EDISI UKAS