RM710,526 Sokong Pembangunan Bakat SM Pei Min Miri
MIRI: Peruntukan RM710,526 kepada Sekolah Menengah Pei Min menjadi antara usaha Kerajaan Sarawak menyokong pembangunan pendidikan dan melahirkan bakat yang diperlukan untuk meneruskan pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, sokongan kepada sekolah menengah persendirian Cina bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya sebahagian daripada usaha memastikan pendidikan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan Sarawak.
“Yang penting ialah kita melahirkan bakat untuk mengambil alih dan meneruskan pembangunan Sarawak. Generasi muda perlu lebih bijak, berwawasan dan bersedia menyumbang kepada negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina, di sini pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim turut menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang pendidikan yang semakin berkembang di Sarawak, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan perubatan bagi memenuhi keperluan tenaga profesional negeri pada masa hadapan.
Menurutnya, perkembangan pendidikan tinggi di Miri turut membuka ruang lebih luas kepada anak Sarawak mendapatkan pendidikan bertaraf global, termasuk melalui potensi kerjasama dengan institusi antarabangsa seperti Universiti Fudan.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan SM Pei Min, Khor Ooi Long merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan yang membantu mengurangkan beban kewangan sekolah.
Beliau berkata peruntukan tersebut turut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan sekolah menengah persendirian Cina dalam pembangunan modal insan serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS