KMKK, JKKK Perlu Kuasai Prosedur, Urus Peruntukan Secara Telus
SIBURAN: Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu terus meningkatkan pengetahuan berkaitan peraturan, prosedur serta pengurusan kewangan bagi memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan kampung dilaksanakan dengan teratur dan berintegriti.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perubahan dalam keperluan pentadbiran dan keadaan semasa menjadikan pembelajaran sepanjang hayat penting dalam kalangan pemimpin akar umbi.
Menurutnya, KMKK dan JKKK perlu memahami perkembangan berkaitan peraturan, perundangan, protokol serta prosedur pentadbiran bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
“Ilmu yang diperoleh dalam bengkel ini perlu dikongsikan terlebih dahulu dengan ahli JKKK dan seterusnya masyarakat kampung supaya pengetahuan berkaitan prosedur serta urusan pentadbiran dapat difahami bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bengkel Pemantapan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan JKKK Daerah Siburan Tahun 2026, di sini pada Khamis.
Dato Sri Roland turut mengingatkan KMKK dan JKKK supaya memahami proses pelaksanaan projek pembangunan, termasuk keperluan mematuhi peraturan kewangan, proses tender, pengambilan tanah serta prosedur agensi pelaksana yang boleh mempengaruhi tempoh pelaksanaan sesuatu projek.
“Projek boleh diumumkan, dirancang dan disebut, tetapi pelaksanaan sentiasa mempunyai kekangan. Oleh itu, saya harap kampung yang telah dimaklumkan akan menerima projek supaya bersabar dan memberikan kerjasama kepada agensi pelaksana,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan dan peruntukan kerajaan secara telus, termasuk memastikan laporan perbelanjaan lengkap serta mematuhi keperluan audit.
Katanya, ketua kampung juga perlu memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak mengikut prosedur ditetapkan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari berkata, bengkel berkenaan merupakan platform pembelajaran berterusan bagi memperkukuh kecekapan KMKK dan JKKK dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
“Bengkel ini bukan berhenti di sini kerana ia akan dibuat berulang kali kerana kita manusia, semakin berumur peluang untuk kita melupakan sesuatu agak tinggi.
“Bagi KMKK yang baharu, ini peluang untuk mendapatkan pendedahan, manakala yang sudah lama berkhidmat dapat menggilap dan memantapkan pengetahuan serta kemahiran,” katanya.
Seramai 134 KMKK, JKKK dan ahli jawatankuasa menghadiri program anjuran Pejabat Daerah Siburan itu.
Dalam majlis sama, Dato Sri Roland turut menyampaikan dua cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak.
Seventh-Day Adventist Church Tarat Mawang menerima RM250,000 bagi projek membina bangunan Sekolah Sabat Gereja Seventh-Day Adventist (SDA) Kampung Tarat Mawang, Serian, manakala St. Swithun’s Chapel, Plaman Payang menerima RM80,000 bagi pembelian peralatan chapel, sistem siar raya, alat
muzik dan loceng menara.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Daerah Serian, Enting Nyami, Wakil Pegawai Daerah Tebedu, Angela Thomas serta Temenggong Bidayuh Bahagian Serian, Henry Bujang Sendan. -EDISI UKAS