PPRMS Tingkat Keselamatan, Keselesaan Kediaman Golongan Memerlukan Di Tellian
MUKAH: Pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) terus membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan kediaman golongan memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerusi kerja baik pulih rumah yang mengalami kerosakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, setiap penerima PPRMS Fasa 1/2026 (Kumpulan 2) di DUN Tellian menerima peruntukan RM15,000 bagi melaksanakan kerja baik
pulih kediaman masing-masing.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan penting khususnya bagi membaiki bahagian rumah yang telah uzur dan boleh menjejaskan keselamatan penghuninya.
“Diharapkan projek baik pulih ini dapat meringankan beban penerima serta mengurangkan kerisauan mereka terhadap aspek keselamatan, terutama yang melibatkan keadaan lantai rumah yang uzur dan boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni,” katanya ketika melakukan lawatan pemeriksaan projek PPRMS Fasa 1/2026 (Kumpulan 2) di sini baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, Royston memeriksa kerja baik pulih rumah milik Noriah Arbi di Kampung Tellian yang dilaksanakan oleh Farizam Enterprise sebelum meninjau projek sama melibatkan kediaman Zainab Kadri di Kampung Penakub Hilir yang dilaksanakan oleh Syarikat Laman Umi.
Menurut beliau, pemeriksaan itu penting bagi memastikan kerja pembaikan dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan, selain memastikan kualiti kerja kontraktor berada pada tahap memuaskan.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua projek menunjukkan hasil kerja yang memuaskan dan dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penerima.
“Setiap penerima PPRMS Fasa 1/2026 (Kumpulan 2) bagi DUN Tellian menerima peruntukan RM15,000 untuk kerja baik pulih rumah.
“PPRMS merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya pemilik rumah yang memerlukan pembaikan demi keselamatan dan keselesaan penghuni,” tambahnya.
Selain memeriksa pelaksanaan projek, Royston turut meninjau keadaan rumah penduduk berhampiran serta beramah mesra dengan komuniti bagi mendapatkan maklum balas mengenai keperluan kemudahan dan pembangunan setempat.-EDISI UKAS