Kiosk SESCO Bintangor Beroperasi 8 Pagi Hingga 5 Petang
MERADONG: Waktu operasi Mesin Kiosk SESCO di Bintangor akan diselaraskan kepada 8 pagi hingga 5 petang bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan berkaitan bekalan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyelarasan waktu operasi itu dipersetujui hasil perbincangan bersama Pengurus Peruncitan SESCO Sarikei, Kenneth Chung semasa kunjungan hormat ke Pusat Khidmat DUN Meradong, pada Khamis.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kemudahan berkenaan lebih mudah diakses serta memenuhi keperluan masyarakat di Bintangor dan kawasan sekitarnya.
“Kemudahan mesin kiosk ini membolehkan orang awam menguruskan pelbagai urusan berkaitan bekalan elektrik dengan lebih cepat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kaunter perkhidmatan konvensional.
“Perubahan waktu operasi ini diharap dapat meningkatkan pengalaman pengguna dan memberi keselesaan kepada penduduk yang berurusan dalam tempoh waktu bekerja harian,” katanya.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada SESCO Sarikei atas komitmen dan kerjasama dalam menambah baik kemudahan perkhidmatan utiliti di kawasan berkenaan.
Tambahnya, kerjasama erat antara wakil rakyat dan agensi penyedia perkhidmatan penting bagi memastikan keperluan serta kesejahteraan masyarakat di DUN Meradong terus diberi perhatian. -EDISI UKAS