Geran RM480,000 Bantu Teruskan Pembinaan Bangunan Serbaguna Gereja Methodist Mukah
MUKAH: Pembinaan bangunan serbaguna dua tingkat Gereja Methodist Mukah menerima suntikan dana RM480,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi membantu meneruskan projek kemudahan yang bakal dimanfaatkan untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Peruntukan menerusi Dana Rumah Ibadah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Menurut Royston, peruntukan berkenaan diluluskan hasil keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Timbalan Premier Sarawak yang bertanggungjawab terhadap UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu pihak Gereja Methodist Mukah meneruskan dan menyiapkan projek yang sedang dilaksanakan iaitu bangunan serbaguna dua tingkat.
“Kemudahan itu akan menyediakan ruang yang lebih selesa untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti Kristian Methodist di Mukah,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menerusi UNIFOR akan terus menyokong usaha pembangunan dan penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
“Apabila siap kelak, kemudahan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada anggota gereja, malah dapat digunakan untuk pelbagai program kemasyarakatan,” tambahnya.-EDISI UKAS