MERADONG: Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong menerima insentif khas berjumlah RM25,900 sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik dan kejayaan melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pemberian itu membabitkan RM12,600 kepada 67 pelajar STPM 2025 yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas dan RM13,300 kepada 133 pelajar yang menerima tawaran ke universiti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis My Journey to University dan Penyerahan Insentif STPM 2025 SMK Meradong, pada Rabu.
Menurutnya, program My Journey to University yang dianjurkan sejak 2017 merupakan komitmen peribadi beliau dalam memberikan dorongan berterusan kepada pelajar Tingkatan Enam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kejayaan pelajar mengharungi cabaran STPM dan menempatkan diri di universiti amat membanggakan. Di sebalik kejayaan ini terbukti adanya pengorbanan masa, doa ibu bapa serta bimbingan berterusan para guru,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada pelajar agar sentiasa berkeyakinan tinggi, menjaga integriti serta memperkukuh ketahanan mental sepanjang menuntut ilmu di universiti.
“Buktikan anak-anak SMK Meradong mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Tuntutlah ilmu seluas-luasnya dan pulanglah kelak untuk membangunkan tanah air kita, Sarawak,” tambah beliau.
Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Timot Usop, Pengetua SMK Meradong, Poh Chie Teck serta Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong, Dayang Muzaimah Awang Jemat. -EDISI UKAS