Hadiah Keseluruhan RM56,000 Jadi Rebutan Pada ACSJ Ke-9
BETONG: Seramai 12 finalis bakal bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai RM56,000 pada Peringkat Akhir Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) Ke-9 2026 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, pada 3 Oktober ini.
Finalis terdiri daripada 10 peserta solo iaitu Ramles Walter, Donny Lang, Dara Hellena, Winnie Albert, Watt Rock, Eyqa Saiful, Phoebe Chloe, Mawat, Dayana Shini dan Joannes Johnny Aman serta dua kumpulan, Masterpiece dan Tanah Berenyang Band.
Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh berkata, penganjuran ACSJ bertujuan mengetengahkan bakat penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik, selain menjadi platform memartabatkan industri muzik Dayak khususnya lagu Iban.
“Objektif penganjuran ACSJ adalah untuk mengetengahkan penglibatan penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik agar ACSJ mampu menjadi penanda aras untuk memartabatkan Industri Muzik Dayak khususnya lagu Iban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Program Anugerah Carta Sapa Juara Ke-9 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, pada Rabu.
Menurutnya, ACSJ turut menjadi platform kepada penggiat muzik untuk mengetengahkan bakat, menghasilkan lebih banyak karya serta menjana pendapatan melalui hasil seni mereka.
Penganjuran edisi kali ini merupakan kolaborasi seni muzik antara WAIfm RTM Sarawak dengan agensi kerajaan di Bahagian Betong dan mempertandingkan tujuh kategori, termasuk kategori baharu iaitu Kategori Lagu ACSJ Paling Popular.
Laga menambah, penganjuran ACSJ di Betong turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dan aktiviti jualan sepanjang program.
Sementara itu, Pengurus WAIfm Iban, Monica Midi berkata, ACSJ Ke-9 turut menampilkan kejutan menerusi penampilan artis veteran yang sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian.
Menurutnya, siaran rasmi WAIfm Iban bagi program tersebut dijangka mencatat lebih satu juta tontonan dari pelbagai daerah dan lokasi.
Peringkat akhir ACSJ Ke-9 akan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Peringkat Akhir ACSJ Ke-9 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 3 Oktober ini.-EDISI UKAS