Sarawak Perluas Perkhidmatan HIV Berasaskan Komuniti Ke Miri, Bintulu
KUCHING: Sarawak memperluas perkhidmatan HIV berasaskan komuniti ke Miri dan Bintulu bagi memastikan akses kepada rawatan dan sokongan kesihatan lebih dekat dengan masyarakat, khususnya individu yang hidup dengan HIV, keluarga serta komuniti rentan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, agenda pembangunan Sarawak sentiasa memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti hidup rakyat, termasuk memastikan akses penjagaan kesihatan yang lebih inklusif.
“Dalam kita terus memperkukuh ekonomi dan menerima inovasi, kita juga mesti memastikan kemajuan yang dicapai bersifat inklusif dan tiada seorang pun yang tercicir.
“Penjagaan kesihatan merupakan satu pelaburan asas dalam modal insan kita, dan inisiatif seperti Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) mencerminkan komitmen kita untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mudah diakses, penuh keprihatinan dan berpusatkan rakyat kepada setiap rakyat Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang sama, peluasan TKTN itu disokong peruntukan Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan penjagaan HIV berkualiti lebih dekat dengan komuniti masing-masing.
TKTN menyediakan sokongan menyeluruh termasuk penginapan sementara, kaunseling, sokongan rawatan, perkhidmatan psikososial, bantuan kebajikan dan jangkauan komuniti.
Kemudahan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada keperluan kesihatan, malah membantu menangani cabaran sosial dan ekonomi yang boleh menjejaskan akses serta kesinambungan rawatan.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, pengukuhan kerjasama serta peluasan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti dapat membantu meningkatkan hasil kesihatan, selain menyokong komitmen Malaysia untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
Sementara itu, Patron MAF Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu berkata, setiap individu berhak mendapat layanan penuh bermaruah, ihsan dan hormat tanpa mengira keadaan.
Katanya, TKTN bukan sekadar menyediakan tempat perlindungan, malah berperanan memulihkan harapan, mengurangkan stigma serta memberi keyakinan kepada individu yang hidup dengan HIV untuk meneruskan kehidupan.
Pada masa sama, ‘Sarawak Health Access Programme’ (SHAPE) yang dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Sarawak sejak 2018 menyediakan bantuan kewangan kepada individu yang hidup dengan HIV serta pesakit penyakit kronik lain yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Pendekatan itu selaras dengan ‘National Strategic Plan Ending AIDS’ 2030 Malaysia yang menekankan pencegahan, diagnosis awal, rawatan berterusan, sokongan psikososial, penglibatan komuniti serta usaha menghapuskan stigma dan diskriminasi. -EDISI UKAS