MoU Pendigitalan Limbang-Lawas Perlu Diterjemah Kepada Tindakan Nyata
LAWAS : Memorandum Perjanjian (MoU) Pendigitalan Kesalinghubungan Limbang dan Lawas perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata bagi memastikan kesalinghubungan internet yang lebih stabil, berdaya tahan dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di kedua-dua bahagian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembangunan infrastruktur digital kini sama penting dengan penyediaan jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air dalam memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan keperluan semasa.
“MoU mesti diterjemahkan kepada tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran MoU Pendigitalan Kesalinghubungan Limbang dan Lawas di Dewan Bukit Sari, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kesalinghubungan internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan asas yang penting dalam bidang pendidikan, kesihatan, perniagaan, perkhidmatan kerajaan dan komunikasi kecemasan.
Katanya, internet yang stabil membolehkan pelajar mengakses pembelajaran dalam talian, usahawan tempatan memasarkan produk ke pasaran lebih luas serta memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dan berurusan dengan agensi kerajaan secara digital.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menegaskan isu kesalinghubungan perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengenal pasti kawasan yang masih menghadapi masalah liputan melalui data dan pemetaan, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran geografi.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, teknologi seperti VSAT dan satelit juga boleh dimanfaatkan sebagai penyelesaian praktikal bagi kawasan yang sukar mendapat capaian, manakala projek MySRBN telah membantu meningkatkan komunikasi di kawasan pedalaman seperti Long Semadoh.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kerjasama berkenaan merupakan langkah penting memperkukuh kesalinghubungan digital di Limbang dan Lawas menerusi penggunaan infrastruktur milik Sarawak.
Beliau berkata inisiatif tersebut melibatkan menara telekomunikasi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) dan rangkaian ‘virtual fibre’ Syarikat SESCO Berhad, sekali gus mewujudkan laluan kesalinghubungan yang lebih kukuh dan berdaya tahan serta mengurangkan kebergantungan kepada laluan yang merentasi Brunei Darussalam.
Terdahulu, Pengerusi SDEC merangkap Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy, Tan Sri Datuj Amar Morshidi Abdul Ghani berkata, pembangunan rangkaian ke Limbang dan Lawas melibatkan jajaran keseluruhan sekitar 1,926 kilometer bagi mewujudkan laluan digital alternatif ke utara Sarawak.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuh kesalinghubungan digital, malah menyokong usaha memelihara kedaulatan digital Sarawak dengan memastikan infrastruktur komunikasi strategik berada di bawah kawalan sendiri serta mampu memenuhi keperluan digital negeri pada masa hadapan. -EDISI UKAS