Serian Rafting Challenge Berpotensi Dibawa Ke Peringkat Antarabangsa
SERIAN: ‘Serian Rafting Challenge’ mempunyai potensi untuk dikembangkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memperkukuh asas acara yang telah dibina sejak 2011.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, penganjuran acara berkenaan tidak bertujuan menggantikan identiti asal ‘Serian Rafting Challenge’, sebaliknya memperluas capaian dan meningkatkan standardnya.
“Kita tidak menggantikan Serian Rafting Challenge, sebaliknya kita memperkukuh apa yang telah dibina oleh Serian selama bertahun-tahun.
“Langkah ini memberi pendedahan yang lebih meluas sekali gus membuka peluang menarik peserta dari luar daerah mahupun luar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media ‘Serian Rafting Challenge’ 2026 di Dewan Masyarakat Serian, pada Rabu.
Menurutnya, kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Majlis Daerah Serian dan Grit Event Management menerusi siri Borneo Raft Safari dapat membantu meningkatkan standard serta capaian acara berkenaan.
Edisi 2026 turut memperkenalkan sistem masa perlumbaan automatik mengikut piawaian kejohanan antarabangsa serta pendaftaran dalam talian bagi memudahkan penyertaan peserta dari luar kawasan.
Setakat ini, 80 pasukan telah mendaftar, manakala penganjur menyasarkan 100 pasukan bagi cabaran sejauh 25 kilometer dari Kampung Tema Mawang ke Kampung Tebakang.
Dato Sri Richard menambah, selain sukan pengembaraan, acara berkenaan turut memberi ruang kepada komuniti tempatan mengetengahkan budaya melalui pertandingan Ratu Bilanting serta memperoleh manfaat ekonomi daripada kehadiran peserta dan pengunjung.
Hadiah keseluruhan bernilai RM17,600 disediakan, manakala pendaftaran dalam talian dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2026.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos dan Setiausaha Majlis Daerah Serian, Jannice Abraham. -EDISI UKAS