Sarawak Energy Perkukuh Tadbir Urus, Daya Tahan Digital Melalui Sidang Kemuncak Audit Dalaman HAPUA 2026
KUCHING: Sarawak Energy memperkukuh komitmennya terhadap tadbir urus, audit dalaman dan daya tahan digital dalam sektor tenaga serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Audit Dalaman Ketua-Ketua Utiliti/Autoriti Tenaga ASEAN (HAPUA) 2026, di sini baru-baru ini.
Mengangkat tema ‘Leading with Assurance: Digital Trust, Resilience & Value Creation in Power Utilities’, sidang kemuncak itu menghimpunkan wakil negara HAPUA, ketua eksekutif audit serta delegasi industri bagi memperkukuh kerjasama serantau dan bertukar pandangan berkaitan amalan audit dalaman.
Dalam ucaptamanya, Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga, Ainul Azhar Ainul Jamal, berkata fungsi audit dalaman perlu berkembang melangkaui pematuhan tradisional.
“Audit Dalaman memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar memberikan jaminan bebas.
“Ia merupakan rakan strategik yang membantu lembaga pengarah dan pengurusan membina keyakinan bahawa risiko difahami, tadbir urus kekal kukuh, sumber diurus secara bertanggungjawab dan program transformasi mencapai nilai yang disasarkan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) mampu mempertingkat amalan audit menerusi analisis data termaju, namun penggunaannya memerlukan pengawasan rapi khususnya berkaitan keselamatan siber, tadbir urus data dan aspek etika.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai, ketika mengalu-alukan kehadiran para delegasi berkata HAPUA memainkan peranan penting dalam memacu penyelesaian bersama dalam kalangan utiliti tenaga ASEAN.
Menurutnya, pendekatan secara kolektif bukan sahaja dapat memperkukuh organisasi utiliti tenaga secara individu, malah mempercepatkan aspirasi ASEAN ke arah rangkaian grid tenaga serantau yang lebih bersepadu dan mampan.
Naib Presiden Audit Dalaman Kumpulan Sarawak Energy, Steven Kho Chai Huat, berkata walaupun utiliti tenaga ASEAN beroperasi dalam persekitaran yang berbeza, mereka berdepan cabaran yang hampir sama, sekali gus menjadikan perkongsian pengetahuan dan pengalaman amat bernilai.
Sidang kemuncak selama dua hari itu dianjurkan oleh Malaysia Chapter HAPUA Working Group No. 5 bersama pasukan Audit Dalaman Sarawak Energy.
Sebanyak tujuh sesi dan 20 penceramah disediakan sepanjang program, meliputi topik berkaitan AI, keselamatan siber, jaminan digital, tadbir urus alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pengawasan projek modal.
Para delegasi turut dibawa menyertai pelayaran sungai ketika matahari terbenam di sepanjang Sungai Sarawak bagi menyaksikan mercu tanda serta menghayati budaya tempatan Kuching. -EDISI UKAS