Kekuatan Mental Kunci Atlet Para Sarawak Pertahan Kejuaraan
KUCHING: Kekuatan mental perlu menjadi antara sandaran utama atlet para Sarawak dalam menghadapi cabaran mempertahankan kejuaraan pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14 di Selangor.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mempertahankan kejuaraan bukan tugas mudah apabila Sarawak kini menjadi antara pasukan yang diberi perhatian selepas kejayaan pada edisi terdahulu.
Menurut beliau, keadaan itu menuntut atlet bukan sahaja bersedia dari segi fizikal, stamina dan strategi, tetapi turut mempunyai ketahanan mental untuk berdepan tekanan serta suasana pertandingan di luar gelanggang sendiri.
“Kekuatan mental sangat penting. Selain kemahiran yang diajar oleh jurulatih dari segi stamina dan strategi, atlet juga perlu bersedia dari segi mental untuk menghadapi apa sahaja cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke sesi latihan intensif atlet para memanah Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang, di sini pada Khamis.
Dato Sri Fatimah berkata misi mempertahankan kejuaraan Para SUKMA kali ini lebih mencabar kerana Sarawak tidak lagi berada dalam kedudukan sebagai pasukan underdog, sebaliknya sudah dikenali selepas mencatat kejayaan pada edisi terdahulu.
“Untuk mempertahankan sesuatu kedudukan itu adalah lebih sukar daripada ketika kita dianggap sebagai pasukan yang tidak diambil kira.
“Apabila orang sudah tahu tentang Sarawak, kita mempunyai satu cabaran yang besar,” katanya.
Beliau berkata atlet perlu menjadikan pelbagai cabaran yang pernah diharungi dalam kehidupan sebagai kekuatan untuk terus berjuang, selain tidak membiarkan masalah peribadi menjejaskan tumpuan ketika pertandingan.
Katanya, semua atlet, pegawai, pengiring dan jurulatih Sarawak dijadualkan berangkat ke Selangor pada 1 haribulan, selepas menjalani latihan intensif sehingga 31 haribulan.
Beliau turut mengingatkan setiap atlet bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada misi mempertahankan kejuaraan Sarawak.
Sementara itu, jurulatih para memanah Sarawak, Razmi Amit, berkata perkembangan pasukan menunjukkan peningkatan positif apabila jumlah atlet kini bertambah kepada tujuh orang, berbanding seorang ketika mula menyertai kejohanan pada 2022 dan tiga orang pada 2024.
Katanya, pasukan kali ini terdiri daripada tiga atlet recurve lelaki, tiga recurve perempuan dan seorang compound lelaki, dengan sasaran awal untuk meraih dua pingat pada Para SUKMA kali ini.
“Sasaran setakat ini dua pingat. Insya-Allah, kami berharap menerusi acara individu wanita dan pasukan campuran. Untuk acara individu lelaki juga ada harapan,” katanya.
Razmi berkata pasukan para memanah Sarawak masih dalam proses membentuk barisan yang lebih lengkap, dengan sasaran ideal seramai 12 atlet bagi membolehkan kekuatan pasukan diperkukuh dan atlet saling menyokong antara satu sama lain.
Pasukan para memanah Sarawak diketuai Busrah Tani selaku pengurus, dengan Razmi Amit dan Johin Krayu sebagai jurulatih serta Rosanah Kahar sebagai pengiring.
Pasukan ‘recurve’ lelaki menampilkan Vicky Ran Jeffry, Gillbelson Alvin dan Sylvester Louis Sibat, manakala ‘recurve’ perempuan terdiri daripada Nur Ezzatul Farishah Busrah, Sharrylnja Aerica Simon Aleh dan Victoria Annabel Nuri manakala Dylan Lawai Ditum mewakili acara ‘compound’ lelaki. -EDISI UKAS