TANJUNG MANIS: Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan yang kini berada pada paras tidak sihat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, langkah berjaga-jaga perlu diutamakan bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada asap, habuk dan zarah pencemar di udara.
Menurut beliau, beberapa kawasan merekodkan bacaan IPU melebihi 100, manakala Serian, Samarahan dan Sri Aman dilaporkan menghampiri bacaan 200.
“Keadaan ini memerlukan orang ramai mengambil langkah sewajarnya dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah, terutama ketika bacaan pencemaran udara meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, di sini pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, golongan berisiko termasuk pesakit asma, individu yang mempunyai alahan serta masalah pernafasan, kanak-kanak dan warga emas perlu mengambil langkah lebih berhati-hati sepanjang tempoh berkenaan.
“Sekiranya perlu keluar, orang ramai disaran menggunakan pelitup muka yang bersesuaian serta memastikan pengambilan air kosong mencukupi bagi membantu menjaga kesihatan.
“Pada masa sama, aktiviti luar yang tidak penting wajar dikurangkan, khususnya bagi mereka yang mudah terjejas akibat pencemaran udara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah keadaan walaupun hujan renyai dilaporkan berlaku di beberapa kawasan kerana bacaan IPU boleh berubah pada bila-bila masa.
Orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan terkini kualiti udara dan mengambil langkah pencegahan yang sesuai sebelum melakukan aktiviti luar. -EDISI UKAS