243 Unit Rumah SPEKTRA Permata Dibangunkan Di SPK Teku
SIBU: Sebanyak 243 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) bakal ditawarkan menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Teku dengan kos keseluruhan RM117 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pasangan muda yang baharu berkahwin dicadang diberi keutamaan untuk memiliki kediaman berkenaan.
“Definisi pasangan muda ini ialah orang yang baharu berkahwin supaya mereka dapat memiliki rumah.
“Memandangkan jumlahnya banyak iaitu 243 unit, kita akan lihat perinciannya kelak tetapi ia tetap terbuka kepada masyarakat kita di Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tapak ke projek SPK Teku, di sini, pada Rabu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, projek berkenaan dicadangkan kira-kira dua tahun lalu selepas beliau bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan lawatan ke tapak tersebut.
Katanya, tanah di Teku kini telah diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk dibangunkan.
Sementara itu, Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi berkata, projek tersebut melibatkan kawasan seluas 40.2 ekar atau 16.268 hektar.
Beliau berkata, peruntukan permulaan sebanyak RM350,000 telah disalurkan bagi menyegerakan kerja awalan.
“Kita sudah bermula. Tadi kita ada berbincang, jika peruntukan projek ini mengambil tempoh lama, kita akan mencari alternatif lain supaya projek dapat dilaksanakan dengan cepat,” ujarnya.
Projek itu dijangka mengambil masa 36 bulan atau tiga tahun untuk disiapkan dan menawarkan rumah jenis bertiang dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur serta garaj untuk dua kenderaan.
Selain kediaman, pembangunan berkenaan turut merangkumi pelbagai kemudahan komuniti, termasuk tadika atau taska satu tingkat, medan selera dua tingkat, surau satu tingkat, kemudahan sukan dan kawasan lapang. -EDISI UKAS