NADI Perkasa Literasi Digital, Bentuk Pelajar Beretika Di Media Sosial
TANJUNG MANIS: Golongan pelajar diseru menjadi generasi digital yang beretika dengan memanfaatkan media sosial sebagai medium menyebarkan maklumat tepat, nilai murni dan semangat perpaduan menerusi pendekatan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, perkembangan teknologi menjadikan media sosial sebagai platform utama penyebaran maklumat yang mampu memberi pengaruh besar terhadap masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurutnya, kemudahan digital perlu digunakan secara bertanggungjawab agar setiap kandungan yang dikongsikan membawa manfaat serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni.
Beliau turut menggalakkan warga sekolah memanfaatkan media sosial untuk menyemai semangat patriotisme, mengeratkan hubungan antara kaum dan memelihara nama baik sekolah, bangsa serta negara.
“Kebebasan bersuara di alam maya perlu disertai dengan rasa hormat terhadap perasaan, pandangan dan kepelbagaian latar belakang setiap individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, disini, pada Rabu.
Dato Ir Yusuf menegaskan, penyebaran berita palsu, kandungan berunsur hasutan dan sebarang bentuk buli siber perlu dielakkan kerana boleh menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat.
Jelas beliau, media sosial sewajarnya dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu, berkongsi maklumat bermanfaat dan membudayakan komunikasi beradab.
Beliau berharap pendekatan NADI mampu melahirkan generasi celik digital yang bukan sahaja bijak menggunakan teknologi, malah menjadi ejen perpaduan dan contoh teladan dalam masyarakat. -EDISI UKAS