Kemerdekaan Perlu Dihayati, Bukan Sekadar Disambut
TANJUNG MANIS: Sambutan Bulan Kebangsaan perlu dimanfaatkan untuk menyemai kefahaman mendalam dalam kalangan generasi muda mengenai erti kemerdekaan serta nilai yang perlu dipertahankan demi masa depan negara.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kemerdekaan yang dikecapi hari ini merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang wajar dihargai oleh setiap rakyat.
Menurutnya, pengertian merdeka tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pembebasan daripada penjajahan, tetapi turut merangkumi kebebasan generasi muda untuk mendapatkan pendidikan, membina kehidupan dan menentukan hala tuju masa depan.
Beliau berkata, kesempatan yang dinikmati selepas kemerdekaan perlu digunakan sebaik mungkin, khususnya oleh pelajar yang merupakan generasi bakal meneruskan pembangunan negara.
“Anak-anak perlu sedar bahawa peluang untuk belajar, mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik merupakan antara nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, di sini, pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, penghayatan terhadap kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, kesungguhan menuntut ilmu serta usaha menjadi individu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Ujarnya, generasi hari ini juga perlu mengenang jasa terdahulu kerana keamanan dan kestabilan yang dinikmati bukan sesuatu yang diperoleh tanpa pengorbanan.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga sekolah menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai wadah memperkukuh semangat patriotisme dan menghargai kebebasan yang diwariskan. -EDISI UKAS