Pendidikan Berkualiti Bentuk Generasi Berdaya Saing Sarawak
TANJUNG MANIS: Pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan menjadi antara strategi penting Kerajaan Sarawak dalam memastikan generasi muda memiliki ilmu, kemahiran dan daya saing bagi menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, usaha memperkukuh pendidikan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana kualiti generasi muda menjadi asas kepada pembangunan negeri pada masa akan datang.
Menurut beliau, penyediaan peluang pendidikan yang lebih luas membolehkan anak-anak Sarawak membina masa depan melalui laluan akademik dan kemahiran yang bersesuaian dengan potensi masing-masing.
“Gunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, di sini, pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, pengiktirafan terhadap pencapaian pelajar turut penting sebagai dorongan untuk mengekalkan kecemerlangan selain menjadi inspirasi kepada rakan sebaya.
Menurutnya, kejayaan akademik bukan matlamat akhir, sebaliknya ilmu dan kemahiran yang diperoleh perlu dijadikan bekalan untuk membina kehidupan serta masa depan yang lebih baik.
“Pelajar hari ini adalah aset kepada Sarawak pada masa hadapan. Sebab itu, mereka perlu mempunyai disiplin, kemahiran dan keyakinan diri untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar,” ujarnya.
Beliau turut menyeru golongan muda merebut setiap peluang pendidikan yang disediakan serta terus berusaha meningkatkan keupayaan masing-masing demi masa depan yang lebih cerah. -EDISI UKAS