Latihan Kecemasan Perkukuh Kesiapsiagaan Di STOLport Bebuling
SPAOH: Latihan Kecemasan Aerodrome (Aerodrome Emergency Exercise Ex-Bayu 2026) di Lapangan Terbang Baru (STOLport) Bebuling, Spaoh, berjaya dilaksanakan pada petang Rabu.
Latihan anjuran Lapangan Terbang Tanjung Manis itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan pelan tindakan kecemasan sekiranya berlaku insiden di kawasan landasan STOLport Bebuling.
Ia turut menguji koordinasi antara agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Betong, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Betong dan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Betong bersama pihak berkepentingan.
Pelaksanaan simulasi berkenaan membolehkan agensi terlibat menilai kecekapan tindak balas, komunikasi dan penyelarasan ketika mengendalikan insiden kecemasan secara bersepadu.
Ia juga memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing, sekali gus membantu meminimumkan risiko serta mengutamakan keselamatan penumpang, kru penerbangan dan orang awam.
Ketua Unit Perkhidmatan Bomba & Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Lapangan Terbang Tanjung Manis, Mohammad Ainil turut memberikan taklimat mengenai prosedur kecemasan serta gerak kerja pasukan penyelamat yang terlibat.
Taklimat itu merangkumi aspek penyelarasan, komunikasi dan tindakan yang perlu diambil berdasarkan situasi kecemasan yang disimulasikan.
Turut hadir ialah Wakil Ketua Polis Daerah Betong ASP Stanley Mawat, Wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr. Shaun Paul Wayn serta Pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat Betong PBKI Abg Muhd Fhazil Abg Abdul Manaf.-EDISI UKAS