FEIAP Perkukuh Kerjasama Kejuruteraan Asia Pasifik
KUCHING: Penganjuran Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Kuching menjadi platform memperkukuh kerjasama bidang kejuruteraan dalam kalangan negara anggota Asia Pasifik.
Pengerusi Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak, Ir Dr Angelia Liew San Chuin berkata, antara tumpuan kerjasama ialah aspek akreditasi program kejuruteraan, khususnya dalam membantu negara anggota yang memerlukan sokongan berkaitan proses berkenaan.
“Banyak negara memerlukan sokongan untuk melalui proses akreditasi. Jadi, kita akan membimbing mereka dan berkongsi perkara yang dilaksanakan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi bersama media dan rakan strategik bagi penganjuran FEIAP, di sini pada Khamis.
Menurut Ir Dr Angelia, penganjuran itu turut menjadi ruang untuk memperkenalkan Sarawak dengan lebih dekat kepada ahli FEIAP menerusi sesi panel yang menampilkan penceramah tempatan bagi berkongsi projek kejuruteraan di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa, selain Perhimpunan Agung FEIAP yang merupakan program tahunan, penganjuran tahun ini turut merangkumi program Kongres dan Pameran Kejuruteraan Dunia yang julung kali dianjurkan bagi mempromosikan bidang kejuruteraan.
Perhimpunan Agung dan Konvensyen FEIAP akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 2 hingga 4 September ini.
Hampir 200 delegasi dari seluruh Asia Pasifik dijangka menyertai program berkenaan serta kira-kira 500 delegasi tempatan, menjadikan keseluruhan penyertaan sekitar 700 orang. -EDISI UKAS