Warga Pendidik Diseru Membudayakan Inovasi Digital Demi Pembangunan Modal Insan Negeri
KUCHING: Warga pendidik dan pengurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diseru agar memantapkan komitmen serta membudayakan inovasi digital bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam menyokong aspirasi Sarawak sebagai negeri maju.
Pengarah Cemerlang Kolej Vokasional Matang merangkap Pengerusi Zon Majlis Pengarah Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Zon Sarawak, Lefthanan Kolonel Bersekutu (PA) Jamali Muhamad menegaskan, sektor TVET memikul tanggungjawab besar bagi memastikan pendidikan dan latihan yang disampaikan kekal relevan dengan keperluan industri semasa.
“Kita perlu memastikan pendidikan yang disampaikan benar-benar memenuhi keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berkemahiran tinggi dan mempunyai nilai tambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 pada Khamis.
Menurut beliau, warga kerja tidak boleh lagi selesa dengan pendekatan lama, sebaliknya perlu bersedia mendepani perubahan menerusi penguasaan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) serta pendigitalan dalam tugasan harian.
Beliau berkata, pengiktirafan APC yang diberikan kepada warga kerja berprestasi cemerlang juga perlu dijadikan dorongan untuk terus mengekalkan kecemerlangan dan meningkatkan profesionalisme dalam perkhidmatan.
“Anugerah ini adalah bukti bahawa usaha anda dihargai dan diperakui. Namun, kecemerlangan bukanlah satu destinasi, sebaliknya sebuah perjalanan yang perlu diteruskan,” ujarnya.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 74 warga kerja Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Zon Sarawak diraikan menerusi penganugerahan APC 2025 sebagai pengiktirafan terhadap mutu perkhidmatan serta dedikasi tinggi mereka sepanjang 2025.
Beliau mengingatkan bahawa setiap tanggungjawab yang dilaksanakan warga TVET mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan modal insan dan masa depan Sarawak, khususnya dalam melahirkan generasi berdaya saing bagi menyokong agenda kemajuan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datu Adana Jed yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pembangunan Bakat) dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Habibah Mohamad Suhai. -EDISI UKAS