Graduan TVET Perlu Dipersiap Jadi Pencipta Pekerjaan
KUCHING: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipersiap bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, malah berupaya menjadi pencipta pekerjaan melalui keusahawanan, inovasi dan penghasilan teknologi tempatan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan graduan TVET mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia pekerjaan yang dipacu perkembangan teknologi dan automasi.
“Graduan TVET bukan sekadar pencari pekerjaan, malah berpotensi menjadi pencipta pekerjaan melalui keusahawanan, inovasi dan penghasilan teknologi tempatan.
“Kita mahu melahirkan anak-anak Sarawak yang mempunyai kemahiran, disiplin, jati diri, serta daya tahan untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datu Adana Jed ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Zon Sarawak, di sini pada Khamis.
Menurut beliau lagi, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi di Sarawak akan terus meningkat seiring perkembangan sektor ekonomi, industri, teknologi, tenaga, pembinaan dan pembuatan.
Katanya, kemunculan Kecerdasan Buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT), teknologi hijau dan pendigitalan turut menuntut graduan TVET menguasai kemahiran baharu serta mempunyai keupayaan berfikir secara kritis.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik supaya terus memperkukuh hubungan strategik dengan pihak industri bagi memastikan kurikulum dan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan pekerjaan masa hadapan. -EDISI UKAS