Pertandingan Berzanji & Zikir Maulud Dicadang Jadi Acara Tahunan Pulau Bruit
PULAU BRUIT: Pertandingan Berzanji dan Zikir Maulud sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H dicadang untuk dijadikan acara tahunan di Pulau Bruit.
Cadangan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol ketika merasmikan pertandingan tersebut di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, pada Khamis.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut bukan sahaja dapat menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi wadah untuk memperkukuh penghayatan terhadap nilai-nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan aktiviti keagamaan kerana ia merupakan antara usaha penting dalam membina dan mengukuhkan ketahanan rohani serta jati diri masyarakat dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia dan kehidupan,” katanya.
Dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan golongan muda, beliau turut mencadangkan agar pertandingan nyanyian lagu-lagu kerohanian dianjurkan sebagai salah satu pengisian pada masa akan datang.
Pertandingan Berzanji dan Zikir Maulud pada kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 24 peserta secara solo dan berkumpulan dari kampung-kampung di Pulau Bruit.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah turut memberi komitmen untuk terus menyokong penganjuran program keagamaan melalui suntikan dana bagi memastikan aktiviti seumpama itu dapat diteruskan.
Beliau berkata, setiap tahun tidak kurang RM100,000 disalurkan kepada 17 masjid dan sembilan surau dalam kawasan DUN Semop bagi menyokong pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh institusi berkenaan.
Selain itu, katanya, peruntukan tidak kurang RM350,000 setahun turut disediakan bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf masjid serta surau dalam kawasan DUN Semop.
Sementara itu, mengenai penganjuran Pesta Pulau dan Mini Agrofest 2026, Datuk Abdullah berkata acara tahunan yang menghimpunkan pelbagai aktiviti sukan, pameran dan gerai jualan itu akan diadakan selepas Jambatan Batang Paloh dibuka kepada pengguna.
Menurutnya, jambatan berkenaan dijangka siap pada penghujung September ini, sekali gus membuka ruang untuk Pesta Pulau kembali dianjurkan sebagai acara tahunan masyarakat Pulau Bruit.
Turut hadir, Wakil Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Daro Azizan Ajiji, Penolong Imam Bahagian Mukah Khairil Nazri Mohd Nizam, Pemanca Bujang Rezeli serta Penghulu Kampung Tekajong Suib Basnu. -EDISI UKAS