429 Pemilik Tanah NCR Krian Terima Surat Hak Milik Seksyen 18
SARATOK: Seramai 429 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Krian menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak membabitkan 520 lot individu seluas 679.6 hektar atau 1,679.34 ekar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menangani isu tanah NCR yang merupakan warisan serta sumber ekonomi penting masyarakat.
Menurut beliau, pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak bukan bertujuan mengambil alih tanah rakyat, sebaliknya merupakan langkah awal untuk mengenal pasti, merekod dan melindungi kawasan tanah NCR sebelum proses pengeluaran hak milik individu di bawah Seksyen 18.
Katanya, tanggapan tersebut tidak benar, sebaliknya, pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 merupakan langkah awal untuk mengenal pasti, merekod dan melindungi kawasan tanah NCR secara teratur sebelum proses diteruskan ke peringkat pengeluaran hak milik individu di bawah Seksyen 18.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 di Dewan Sri Krian, Saratok, pada Khamis.
Tambahnya lagi, surat hak milik tanah Seksyen 18 sangat istimewa kerana tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan daripada bayaran premium dan tempoh pegangannya adalah kekal.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik tanah memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS), termasuk bersetuju untuk diukur, membuat rentisan sempadan, menyelesaikan pertikaian serta hadir bersama pemilik tanah bersempadan bagi melancarkan proses pengukuran.
Penyerahan tersebut melibatkan tiga kawasan utama iaitu Sungai Krian dan Sungai Kabo dengan 289 surat hak milik kepada 264 penerima melibatkan keluasan 330.48 hektar.
Kawasan Entebu-Selambong pula melibatkan 179 surat hak milik kepada 121 penerima seluas 311.79 hektar, manakala Kampung Sepuk, Krian membabitkan 52 surat hak milik kepada 44 penerima seluas 37.34 hektar.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik, Timbalan Residen Bahagian Betong Mohammad Nizam Wang serta Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid.- EDISI UKAS