Projek ILHAM Cetus Inspirasi Murid SK Puruh Karu Teroka Peluang Pendidikan, Kerjaya
PADAWAN: Projek ILHAM di Sekolah Kebangsaan (SK) Puruh Karu di sini membuka ruang kepada murid untuk mengenali lebih dekat pelbagai peluang pendidikan dan kerjaya yang boleh diterokai bagi membina masa depan mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pendedahan awal seperti itu penting bagi mencetuskan keberanian dalam kalangan murid untuk memasang cita-cita besar serta melihat pendidikan sebagai laluan penting mencapai kejayaan.
“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh tidak seharusnya disimpan untuk diri sendiri, tetapi perlu dikongsi dan dimanfaatkan untuk membantu generasi seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Projek ILHAM di SK Puruh Karu, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara boleh menjadi contoh kepada generasi muda bahawa kejayaan akademik perlu disertai dengan semangat untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, Projek ILHAM yang dianjurkan Sarawak Student Association – United Kingdom (SSA-UK) dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Samariang dan SABERKAS Cawangan Mambong bukan sekadar program motivasi, malah menjadi platform untuk memperluas pandangan murid terhadap pilihan pendidikan dan bidang kerjaya masa hadapan.
“Usaha seperti ini amat penting untuk membuka minda murid sejak di bangku sekolah supaya mereka mengetahui bahawa terdapat pelbagai laluan pendidikan dan bidang baharu yang boleh diterokai,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah menekankan kepentingan mempersiapkan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi masa hadapan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, bidang baharu seperti hidrogen, tenaga solar dan teknologi turut menawarkan peluang yang luas kepada generasi muda Sarawak seiring dengan aspirasi negeri untuk menjadi negeri maju, makmur dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 serta terus berkembang melangkaui tempoh tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan murid supaya tidak mudah berputus asa atau menganggap sesuatu peluang terlalu jauh untuk dicapai, sebaliknya terus belajar, berani mencuba dan memanfaatkan peluang yang tersedia.-EDISI UKAS