SADONG JAYA: Seramai 451 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun yang mengikuti program pendidikan dan asuhan KEMAS di kawasan Batang Sadong bakal menerima manfaat secara tidak langsung menerusi pemerkasaan pengetahuan dan kemahiran ibu bapa dalam membentuk perkembangan anak-anak secara menyeluruh.
Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Bengkel Kemahiran Keibubapaan Parlimen Batang Sadong yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Jaie di sini pada Khamis.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, keluarga merupakan institusi paling penting dalam membentuk sahsiah serta masa depan anak-anak.
Justeru katanya, penglibatan aktif ibu bapa amat penting bagi memastikan perkembangan anak-anak sentiasa diberi perhatian, selain kemahiran keibubapaan perlu terus diperkasakan seiring cabaran semasa.
“Anak-anak bukan sahaja memerlukan keperluan daripada ibu bapa, tetapi juga kasih sayang, perhatian, bimbingan, disiplin dan contoh teladan yang baik daripada ibu bapa,” katanya ketika merasmikan Program Bengkel Kemahiran Keibubapaan Parlimen Batang Sadong di Dewan Komuniti Kampung Jaie di sini pada Khamis.
Datuk Ir Aidel menambah, kemahiran keibubapaan yang baik dapat membantu ibu bapa memahami keperluan anak-anak, khususnya dalam menangani aspek emosi, tingkah laku dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
Pada masa sama, pendekatan itu mampu mewujudkan hubungan lebih erat antara ibu bapa, pendidik, masyarakat dan KEMAS dalam memastikan perkembangan kanak-kanak sentiasa dipantau serta diberi perhatian sewajarnya.
“Kemahiran keibubapaan perlu sentiasa diperkasakan agar ibu bapa lebih bersedia menghadapi cabaran dalam membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang semakin kompleks,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran bengkel tersebut sebagai usaha positif dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan ‘Sandwich Kreatif, Rasa Hebat’, ceramah ‘Keluarga Bahagia Bermula Dengan Kita’ serta Slot KCT KEMAS.
Dalam program sama, Datuk Ir Aidel turut menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.
Turut hadir, Pegawai KEMAS Daerah Simunjan, Maimunah Latip dan Penolong Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.-EDISI UKAS