LAWAS: Pendidikan perlu terus diberi keutamaan bagi melahirkan generasi Lawas yang menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang sains, teknologi, digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan insan perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal dan kekuatan ekonomi bagi memastikan kemajuan negeri memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kemajuan sebenar bukan hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi, tetapi turut ditentukan oleh ilmu, akhlak serta kualiti masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lawas 2026/1448H di Hotel Seri Malaysia, di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru masyarakat menggunakan teknologi secara bertanggungjawab serta menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan berita palsu yang boleh menjejaskan perpaduan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menegaskan keharmonian antara kaum, agama dan budaya di Lawas perlu terus dipelihara sebagai asas kestabilan serta kemajuan masyarakat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok berkata sebanyak 49 penyertaan diterima bagi pertandingan sepanduk sempena sambutan berkenaan yang dipertandingkan dalam empat kategori.
Anugerah Tokoh Lelaki diterima Hasan Pilus, manakala Tokoh Wanita ialah Aminah @ Jamilah Pangkat.
Ikon Perniagaan pula diberikan kepada Muhamad Airan Paran John dan Siti Alam Arbi, manakala Ikon Sukan Lelaki dan Wanita masing-masing diterima Muhd Najmudin Matnor dan Nur Alisha Muhd Razali.
Ikon Akademik dimenangi Nurin Imanina Suhaibi, manakala Ikon Saudara Baru diterima Normaniza Abdullah.
Hadir sama, isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong. -EDISI UKAS