Padawan Raft Safari 2026 Pacu Pelancongan Pengembaraan, 95 Pasukan Sudah Mendaftar
PADAWAN: Padawan Raft Safari 2026 yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini terus memperkukuh potensi Padawan sebagai destinasi pelancongan pengembaraan, alam semula jadi dan berasaskan komuniti menerusi keunikan Sungai Sarawak Kiri.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar mengetengahkan aktiviti berakit, malah menjadi platform untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi, budaya serta komuniti setempat sebagai tarikan pelancongan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Padawan sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berasaskan pengembaraan, alam semula jadi dan komuniti.
“Padawan Raft Safari adalah lebih daripada sekadar acara berakit kerana ia merupakan platform untuk mempamerkan keindahan alam semula jadi, budaya dan komuniti Padawan serta meletakkan Padawan sebagai destinasi pengembaraan, alam semula jadi dan pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Padawan Raft Safari 2026 di MPP di sini pada Khamis.
Tan Kai menambah, penganjuran Hari Pengalaman Berakit pada 3 Oktober turut membuka peluang kepada peserta kali pertama, keluarga serta peminat aktiviti pengembaraan untuk merasai sendiri pengalaman berakit tanpa perlu menyertai pertandingan.
Padawan Raft Safari 2026 merupakan sebahagian daripada Padawan Discovery Festival 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti sukan, pelancongan, kebudayaan dan perdagangan.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Padawan Raft Safari 2026, Tito Grabo Teyok berkata, sebanyak 95 pasukan telah mendaftar setakat 26 Ogos, manakala pendaftaran masih dibuka sehingga 2 September.
Menurut beliau, pertandingan tersebut menawarkan lima kategori melibatkan jarak antara 15 hingga 40 kilometer dengan hadiah keseluruhan bernilai RM20,300 termasuk trofi.-EDISI UKAS