Belanga Melanau Berusia Lebih Seabad Didokumentasikan
MUKAH: Khazanah belanga tradisional masyarakat Melanau yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Tellian Ulu kini didokumentasikan sebagai sebahagian usaha memastikan warisan material berkenaan terus direkod dan dipelihara untuk generasi akan datang.
Kurator Jabatan Muzium Sarawak, Aldrin John Hew berkata, usaha dokumentasi itu dilaksanakan menerusi lawatan peninjauan khas ke kampung berkenaan pada 27 Ogos bagi meneliti koleksi belanga tradisional yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan kepada masyarakat Melanau.
Menurut beliau, tinjauan awal mendapati koleksi berkenaan mempunyai nilai sejarah, estetika dan kebudayaan yang tinggi berdasarkan usia serta ciri warisan yang dimilikinya.
Katanya, proses dokumentasi penting bagi mewujudkan rekod yang dapat menyokong usaha penyelidikan dan pemeliharaan, selain menjadi sumber penyampaian maklumat mengenai warisan masyarakat Melanau kepada generasi akan datang.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Muzium Sarawak dalam mendokumentasikan khazanah material pelbagai masyarakat etnik di Sarawak agar nilai sejarah dan kebudayaannya terus terpelihara.
Dalam lawatan sama, rombongan turut meninjau proses pembuatan sagu yang berkait rapat dengan kehidupan tradisional masyarakat setempat, selain mendapatkan kerjasama penduduk kampung dalam proses peninjauan dan dokumentasi.
Rombongan turut dibantu pembuat sagu, Simon Dubin dan Rasiti Pisu serta pemilik perahu, Nipah Junang yang menguruskan pengangkutan rombongan ke lokasi pembuatan sagu.
Turut hadir, Pegawai Penyelidik Jabatan Muzium Sarawak, Mutaqin Nashrie Morscseinie dan Iqmal Nazran Abdullah, wakil Pejabat Daerah Mukah, Tracy Penggang serta Ketua Kampung Tellian Ulu, Hairin Junang.-EDISI UKAS